18 Oktober 2025 – Bengkel Mahir Tiny Techies (Sekolah Rendah) yang berfokus kepada projek Sumo Robot telah dijalankan secara dalam talian dalam tiga sesi berturut-turut, iaitu pada 27 September, 11 Oktober dan 18 Oktober 2025. Program ini dikendalikan oleh Dr. Hafiz Zakaria yang membimbing para peserta dalam memahami asas robotik, fungsi komponen utama, serta teknik pemasangan dan sambungan sistem robot.
Pada sesi pertama yang dijalankan pada 27 September 2025, peserta telah didedahkan kepada kit robotik Micro:Bit Tiny Techies dan mempelajari fungsi komponen kritikal yang digunakan dalam reka bentuk robot seperti Micro:Bit, Motor Driver, Motor DC dan IR Sensor. Demonstrasi turut dijalankan bagi pemasangan bahagian bawah robot menggunakan komponen asas seperti base plate bawah, IR sensor garisan, castor ball, L bracket, motor DC bersama motor bracket, serta battery holder.
Sesi kedua yang berlangsung pada 11 Oktober 2025 dimulakan dengan imbas kembali pembelajaran daripada sesi sebelumnya. Peserta kemudiannya meneruskan demonstrasi dengan pemasangan bahagian atas robot, melengkapkan struktur keseluruhan robot Sumo. Dalam sesi ini, Dr. Hafiz turut menunjukkan cara sambungan wayar daripada bateri dan motor ke terminal block pada expansion board, selain memperkenalkan beberapa komponen tambahan seperti base plate atas, Tiny Techies Micro:Bit expansion board, IR sensor halangan, standoff, L bracket dan sumo shield.
Sesi ketiga pada 18 Oktober 2025 memberi tumpuan kepada sambungan wayar sensor IR yang berfungsi untuk mengesan kehadiran robot lawan dalam gelanggang Sumo. Peserta juga diingatkan supaya mendapatkan pengawasan orang dewasa semasa melakukan pemasangan bateri bagi memastikan keselamatan semasa aktiviti dijalankan.
Secara keseluruhan, bengkel ini memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang robotik, reka bentuk elektronik dan asas pengaturcaraan. Melalui bimbingan berstruktur oleh Dr. Hafiz Zakaria, peserta bukan sahaja memahami teori asas sains dan teknologi, malah berpeluang mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembinaan robot sebenar. Bengkel ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh minat pelajar terhadap dunia teknologi dan automasi sejak di peringkat sekolah rendah.


