28 Ogos 2026 – NADI Kampung Pantai Sabak telah menghantar wakil menyertai Kejohanan NADI E-Sukan MADANI Legend Mobile Legends (MLBB) Peringkat Negeri Kelantan Musim Ke-4 yang menghimpunkan penyertaan daripada 79 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Kelantan.
Kejohanan ini berlangsung secara berperingkat bermula dengan peringkat kumpulan (28 Ogos), diikuti peringkat playoff (29 Ogos) secara dalam talian, sebelum kemuncak peringkat akhir pada 31 Ogos 2026 yang melibatkan lapan pasukan terbaik.
Program ini bertujuan memperkasakan pembangunan e-sukan dalam kalangan belia, di samping menggalakkan semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan penggunaan teknologi digital secara positif.
Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,000, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat baharu yang berpotensi untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Pihak NADI Kampung Pantai Sabak merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Diharapkan penganjuran program seperti ini akan terus menjadi platform terbaik dalam melahirkan generasi celik digital, berdaya saing dan berkemahiran tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.


