8 Februari 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah menganjurkan Kempen Internet Selamat (KIS) secara berkelompok di SMK Padang Kala, Kota Bharu.
Program ini menyasarkan 20 buah sekolah yang belum pernah menyertai kempen sebelum ini, namun hanya 12 buah sekolah telah hadir melibatkan 134 orang pelajar dan 31 orang guru. Enam orang fasilitator NADI telah mewakili pihak MCMC untuk menjayakan pelaksanaan program.
Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang, pelajar mengikuti modul ringkas merangkumi topik Maklumat Palsu, Jejak Digital, Red Flag dan Buli Siber. Selain aktiviti utama Kempen Internet Selamat, peserta dan guru pengiring juga berpeluang mendapatkan saringan kesihatan asas melalui kaunter yang disediakan, termasuk pemeriksaan tekanan darah, kencing manis dan indeks jisim badan (BMI)
Secara keseluruhannya, kempen ini berjaya meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan penggunaan internet secara bijak, beretika dan selamat. Kempen Internet Selamat ini juga membantu pelajar menjadi lebih berwaspada dan beretika dalam penggunaan internet. Pelajar dapat memahami cara melindungi akaun media sosial, mengelak daripada menjadi mangsa buli siber atau penipuan, serta lebih berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang maklumat. Program ini juga berjaya membentuk sikap positif dalam kalangan pelajar untuk mengimbangi penggunaan internet dengan aktiviti bermanfaat lain. Poster AIFA turut diagihkan kepada wakil setiap sekolah sebagai simbolik penutup program.


