9 September 2025 (Selasa) – NADI Kampung Pantai Sabak dengan kerjasama NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh telah melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) di SMK Pengkalan Chepa bermula jam 11.00 pagi hingga 1.30 tengahari. Program ini melibatkan 75 orang murid tingkatan 1 yang mengikuti modul ringkas berfokuskan literasi digital dan keselamatan siber. Objektif utama adalah untuk memberi kesedaran tentang penggunaan Internet secara selamat, memahami risiko dalam talian, serta menggalakkan amalan bijak dan beretika semasa berinteraksi di media sosial.
Aktiviti yang dijalankan merangkumi pengisian interaktif untuk membantu pelajar membezakan maklumat sahih dan palsu, memahami konsep jejak digital, mengenal pasti tanda awal pengantunan seksual dalam talian (online grooming), serta membina kemahiran membuat pilihan yang selamat, bijak, dan bertanggungjawab di dunia maya.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang bahaya di alam maya, malah mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan beretika ketika menggunakan teknologi. Diharapkan para pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh untuk melindungi diri, menjaga reputasi digital, serta menjadi pengguna Internet yang bertanggungjawab dan berintegriti.


