25 Jun 2026 – Program Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) Komputer: Asas Infografik anjuran KEMAS Parlimen Ketereh telah berjaya dilaksanakan selama tiga hari di NADI Kampung Padang Kala dengan penyertaan seramai 15 orang peserta.
Sepanjang program berlangsung, peserta telah dibimbing oleh tenaga pengajar daripada tiga buah NADI, iaitu NADI Kampung Padang Kala, NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh dan NADI Kampung Pantai Sabak. Pada hari pertama, peserta didedahkan dengan penghasilan logo dan risalah (flyers) menggunakan platform Canva serta aplikasi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menghasilkan bahan promosi yang lebih menarik dan kreatif.
Hari kedua pula diteruskan dengan latihan penyuntingan video menggunakan aplikasi CapCut. Peserta mempelajari teknik asas menghasilkan video promosi produk, termasuk penggunaan teks, muzik, transisi dan kesan visual bagi menghasilkan kandungan digital yang lebih berkualiti serta sesuai dikongsikan di media sosial.
Program diakhiri pada hari ketiga dengan Majlis Penutup dan sesi pembentangan hasil kerja peserta. Setiap peserta telah mempersembahkan logo, risalah dan video promosi yang dihasilkan sepanjang kursus, sekali gus menunjukkan kreativiti serta kemahiran baharu yang telah dikuasai.
Penganjuran kursus ini membuktikan komitmen berterusan NADI dan KEMAS dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan kemahiran digital. Diharapkan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, promosi perniagaan serta penghasilan kandungan digital yang kreatif dan berkualiti.


